Baginda bertitah, ini kerana pi­hak berkenaan berjuang hanya bagi memenuhi tuntutan sendiri yang boleh merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kukuhkan perpaduan dengan melakukan penambahbaikan supa­ya menjadi umat Islam yang lebih berkualiti dalam semua aspek kehi­dupan,” titah baginda semasa merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1436H peringkat negeri Perlis dan perasmian Masjid al-Hidayah, Titi Beratap, Simpang Empat, dekat sini malam tadi.
Baginda juga berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Advertisement

Berangkat sama Raja Perempu­an Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta barisan Exco kerajaan negeri.
Baginda bertitah supaya rakyat jangan sesekali hilang punca dalam kehidupan, sebaliknya merujuk ke­pada al-Quran yang boleh me­mim­pin manusia ke jalan yang benar dan diredai Allah.
Titah baginda, jika kesatuan ummah kukuh, maka segala pe­ran­cang­an untuk pembangunan negara akan berjalan dengan lancar.
Pada majlis sama, baginda juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436H negeri Perlis kepada Datuk Mahmud Abdul dan Datuk Ir. Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad yang masing-masing menerima plak, sijil dan wang tunai RM10,000.
Mahmud, 66, anak kelahiran Ma­ta Ayer dekat sini berkelulusan Universiti Al-Azhar dan Universiti Ain Syam, Mesir pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan fasih berbahasa Arab.
Wan Ab Ghaffar, 54, pula anak kelahiran Kelantan yang berkelulusan University College Swansea, United Kingdom serta fasih berbahasa Jepun pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jaminan Mutu Perusahaan Otomobil Nasio­nal Berhad di Shah Alam, Selangor.
Beliau kini sebagai Timbalan Pe­ngerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pe­ngarah MAIPs Holding Sdn. Bhd. juga banyak memberikan sumba­ngan dalam memajukan ekonomi terutama pengurusan wang wakaf dan zakat negeri Perlis.