25 Oktober - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail meminta rakyat tidak cuba meruntuhkan perpaduan yang sedia terbina disebabkan terpengaruh untuk memenuhi tuntutan golongan ekstremis.
Baginda bertitah, ini kerana pihak berkenaan berjuang hanya bagi memenuhi tuntutan sendiri yang boleh merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kukuhkan perpaduan dengan melakukan penambahbaikan supaya menjadi umat Islam yang lebih berkualiti dalam semua aspek kehidupan,” titah baginda semasa merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1436H peringkat negeri Perlis dan perasmian Masjid al-Hidayah, Titi Beratap, Simpang Empat, dekat sini malam tadi.
Baginda juga berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Agihan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man serta barisan Exco kerajaan negeri.
Baginda bertitah supaya rakyat jangan sesekali hilang punca dalam kehidupan, sebaliknya merujuk kepada al-Quran yang boleh memimpin manusia ke jalan yang benar dan diredai Allah.
Titah baginda, jika kesatuan ummah kukuh, maka segala perancangan untuk pembangunan negara akan berjalan dengan lancar.
Pada majlis sama, baginda juga berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1436H negeri Perlis kepada Datuk Mahmud Abdul dan Datuk Ir. Wan Abdul Ghaffar Wan Ahmad yang masing-masing menerima plak, sijil dan wang tunai RM10,000.
Mahmud, 66, anak kelahiran Mata Ayer dekat sini berkelulusan Universiti Al-Azhar dan Universiti Ain Syam, Mesir pernah menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan fasih berbahasa Arab.
Wan Ab Ghaffar, 54, pula anak kelahiran Kelantan yang berkelulusan University College Swansea, United Kingdom serta fasih berbahasa Jepun pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jaminan Mutu Perusahaan Otomobil Nasional Berhad di Shah Alam, Selangor.
Beliau kini sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan MAIPs dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MAIPs Holding Sdn. Bhd. juga banyak memberikan sumbangan dalam memajukan ekonomi terutama pengurusan wang wakaf dan zakat negeri Perlis.
- Sumber Utusan Malaysia -